BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, January 25, 2010

seni

Seni merupakan sesuatu perkara yang sangat luas. Menurut kamus dewan, seni membawa maksud halus iaitu kecil, elok, tipis, dan juga enak di dengar seperti yang berkaitan dengan seni suara. Seni ini boleh dikatakan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Dalam era modenisasi ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Kreatif bermaksud kecekapan atau keupayaan menggunakan minda untuk menerokai pelbagai kemungkinan bagi menghasilkan sesuatu yang baru, asli dan bernilai sama ada bersifat maujud, abstrak, idea atau gagasan.
Inovatif pula bermaksud kebolehan untuk membuat pembaharuan atau mengubahsuai sesuatu untuk menjadikannya lebih baik, elok, berkualiti dan sebagainya. Selain itu juga seni yang terlalu luas ini merangkumi aspek lain selain daripada seni halus. Seni juga terdiri daripada seni sastera, muzik, binaan, barangan tradisional, dan sebagainya yang dicipta dengan bakat atau kecekapan dan hasil daripada sesuatu ciptaan.
Visual pula dari segi bahasa bermaksud tampak iaitu sesuatu yang boleh dilihat melalui deria penglihatan. Terdapat juga istilah seni rupa, seni halus, seni lukis dan seni reka. Menurut buku Fine art in Islamic civilization (1981), pemikir islam iaitu Imam Al- Ghazali memperkatakan bahawa seni itu indah melalui pandangan kecantikan dan keindahan. Oleh itu penjelasan konsep seni visual bolehlah di dasarkan kepada beberapa aspek pernyataan diri, pengalaman dan sensasi visual dan sentuh sama ada dalam bentuk 2D atau 3D.
Seni visual boleh dibahagikan kepada dua jenis penghasilan iaitu pengkaryaan dan perekaan. Pengkaryaan ialah penghasilan seni halus dalam bentuk 2D dan 3D. Kebanyakan bahan-bahan yang terhasil menggunakan media dan teknik konvensional iaitu alatan dan media asas dan kurang mengunakan bantuan teknologi. Contoh pengkaryaan ialah Lukisan, catan, cetakan dan arca.
Manakala perekaan pula ialah penghasilan dalam bentuk 2D dan 3D yang lebih banyak menggunakan teknik dan media baru berteraskan teknologi. Contoh perekaan ialah grafik dan multimedia (komunikasi visual), reka bentuk teknologi seperti rekaan industri automobil, logam halus, tekstil dan reka bentuk persekitaran seperti seni hiasan dalaman dan seni lanskap.
Terdapat beberapa peranan penting di dalam pengkaryaan seni visual. Ia boleh dilihat melalui dua aspek antaranya ialah aspek psikologi dan kedua pula ialah aspek sosiologi. Peranan psikologi dalam seni dilihat dari segi perkembangan dan pembentukan diri individu berdasarkan kepada perkembangan sensitiviti, emosi, kreativiti, dan ekspresi yang berlaku dalam diri individu melalui aktiviti seni visual. Peranan seni visual dari aspek sosiologi pula terdiri daripada nasionalisme, persekitaran, propaganda, ritual atau upacara, spiritual, pengeluaran, dan perniagaan serta perdagangan.

0 comments: