BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, February 2, 2010

realiti wanita

Masalah yang ingin saya kemukakan di sini ialah masalah golongan wanita yang lemah dengan kaum lelaki. Bilangan peratus kes yang melibatkan masalah sosial meningkat dari semasa ke semasa. Masalah ini berlaku antaranya berpunca daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan iaitu pergaulan yang tidak dibatasi dengan syarak. Masalah ini sangat rumit kerana apa yang saya lihat adalah perubahan yang berlaku pada seorang wanita apabila bersama dengan seorang lelaki. Masalah percintaan di luar batas syarak dapat menjatuhkan iman seseorang individu untuk melakukan perkara yang sia-sia dan lupa pada larangan yang maha esa.
Seorang wanita muslim kini mudah jatuh dan lemah pada seorang lelaki. Hal ini berikutan dengan permainan sandiwara kaum lelaki dengan menggunakan kata-kata manis serta pujuk rayu agar wanita ini menuruti segala perintahnya. Bagi seorang wanita yang mempunyai hati yang sangat lembut ini akan cepat terpengaruh dengan lelaki yang sedemikian. Golongan wanita ini selalunya meletakkan harapan yang tinggi dan memberikan kasih dan sayang sepenuhnya kepada seorang lelaki ajnabi (asing).
Menjadi persoalan saya apabila saya melihat mengapa wanita ini mudah lemah kepada lelaki walaupun mereka ini mempunyai ilmu agama yang kuat? Bukan sahaja golongan wanita yang terjerumus kepada masalah ini adalah wanita yang tidak berilmu agama tetapi terdapat juga segelintir bilangan kaum wanita yang berilmu agama terjerumus sama di dalam permasalahan ini. Mengapa sikap dan tingkahlaku seorang wanita itu berubah hanya kerana seorang lelaki yang disayangi walaupun hakikatnya mereka mengetahui tentang batas-batas pergaulan dan seterusnya memahami hukum-hukum syarak di dalam islam?
Jika seorang wanita yang tiada pegangan agama yang kuat boleh jatuh ke tangan lelaki, saya rasa ia tidak memeranjatkan kerana mereka ini tidak mempunyai didikan rohani yang dapat menyelamatkan mereka daripada melakukan perkara-perkara terlarang. Tetapi bagaimana pula dengan golongan yang di pandang suci, solehah, serta beriman ini? Ilmu agama yang diperolehi tidak mampu menghindarkan diri mereka kepada masalah pergaulan ini. Dimanakah silapnya?
Semakin hari dunia semakin mencabar. Wanita solehah yang menutup auratnya kini dipandang rendah oleh masyarakat akibat segelintir daripada mereka telah menconteng arang kepada golongan yang baik-baik. Oleh itu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Hal ini boleh mendatangkan masalah kepada sesama kaum wanita itu sendiri. Terdapat juga golongan wanita yang mempunyai pendirian teguh dan bersifat tegas pada mulanya terhadap kaum lelaki. Tetapi setelah bersama dengan seorang lelaki yang disayanginya, pendirian dan prinsip hidup mereka itu menjadi luluh sedikit demi sedikit tanpa mereka sedari. Bagaimanakah seorang wanita yang tegas akhirnya dapat dilembutkan dan dijatuhkan di tangan seorang lelaki? Ketegasan seorang wanita itu hilang tatkala seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab juga menggodanya dengan kata-kata manis dan janji-janji palsu. Hal ini akan menjadi lebih rumit lagi apabila tidak ditangani dengan serius. Walaubagaimanapun masalah ini masih tidak dapat ditangani kerana cabaran dan dugaan daripada persekitaran yang cukup hebat serta dapat menguji keimanan seseorang. Masalah ini bukan sahaja masih tidak dapat ditangani tetapi terdapat juga peningkatan bilangan wanita yang mula membabitkan diri di dalam masalah ini. Peningkatan bilangan wanita yang bersifat sedemikian sangat membimbangkan ini kerana semakin hari sikap seorang wanita itu tidak lagi seperti seorang wanita. Jika ilmu agama yang diperolehinya diamalkan tetapi masih terjerumus dengan permasalahan ini dimanakah silapnya seorang wanita itu dalam mengawal diri dan menjaga maruahnya? Mengapa wanita hari ini masih dan semakin lemah dengan kebijaksanaan seorang lelaki? Perasaan sayang terhadap seorang lelaki menyebabkan wanita ini lalai dengan keseronokan bercinta sehingga lupa akan prinsip dan matlamat hidupnya.
Sikap wanita hari ini yang semakin tidak segan silu membimbangkan orang ramai. Kelemahan mereka ini telah dipergunakan oleh kaum lelaki untuk memenuhi kehendak mereka. Apabila seseorang wanita itu memenuhi kehendak pasangannya yang bukan muhrim untuk melakukan sesuatu di luar batas agama secara tidak langsung maruah seorang wanita itu sedikit demi sedikit akan tercemar. Ramai wanita kini yang jatuh di tangan seorang lelaki. Bagaikan bunga yang berguguran di musim luruh.
Seorang wanita yang mengalami situasi ini selalunya mereka tidak sedar akan perubahan diri mereka tidak kira dari aspek fizikal mahupun mental. Tiada apa yang dapat membantu mereka jika bukan dari mereka sendiri yang berusaha untuk berubah serta sedar dari mimpi dunia. Tetapi, bukan mudah juga untuk berubah. Perubahan itu lebih banyak terhenti dipertengahan jalan kerana ujian yang kuat dari persekitaran. Masih adakah lagi cara untuk mengatasi masalah ini? Mampukah kaum hawa ini mengharungi cabaran sehebat ini untuk memartabatkan maruah mereka?