BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, October 2, 2010

kaitan seni dengan sejarah

Artikel 1

University of Oxford ialah universiti yang tertua di dalam dunia pertuturan bahasa Inggeris. [1] Universiti ini menyusur-galur asalnya pada sekurang-kurang akhir abad ke-11, walaupun tarikh pengasasan yang tepat masih tidak jelas. Pentarikhan ini menyebabkan tempoh kewujudannya sama sahaja dengan Akademi Plato (400-an SM hingga 500-an Masihi).

Menurut legenda, selepas sebuah rusuhan antara pelajar-pelajar dengan orang-orang bandar tercetus pada tahun 1209, sesetengah pensyarah dari University of Oxford melarikan diri ke bandar Cambridge di arah timur laut dan mengasaskan Universiti Cambridge. Sejak masa itu, kedua-dua universiti ini telah mempunyai sejarah persaingan yang lama antara satu sama lain, dan merupakan universiti-universiti yang paling susah masuk di United Kingdom (sila lihat Persaingan Oxbridge).

University of Oxford ialah salah satu ahli :

• Kumpulan Russell Universiti British yang dipimpin oleh penyelidikan;
• Kumpulan Coimbra, satu rangkaian universiti Eropah yang terkemuka;
• Liga Universiti Penyelidikan Eropah; dan
• Ahli utama Europaeum.

Di universiti ini, kami sempat menyinggahi bangunan-bangunan yang besejarah dan mempunyai kisahnya yang tersendiri. Antara bangunan yang paling menarik perhatian saya ialah Christ Church College yang mempunyai struktur bangunan yang sangat hebat. Untuk memasuki bangunan ini, kami dikehendaki membayar sebanyak 4.50£, umpama tiket untuk masuk ke panggung wayang. Nilai sejarah yang ada pada bangunan di sekitar University of Oxford ini layak untuk diberi penghargaan sebegitu rupa.

Peluang berada di University of Oxford kami gunakan sebaiknya dengan mewalat beberapa bangunan bersejarah. Yang paling teruja ialah apabila kami berpeluang melihat sendiri dewan makan yang menjadi latar tempat penggambaran cerita Harry Potter. Tempat tersebut dipanggil sebagai Dining Hall, Christ Church. Ruangan lain yang sempat kami lawati ialah Christ Church Cathedral.

Dewan yang dibina sejak tahun 1546 oleh Henry VIII ini menempatkan dewan makan kepada hampir 500 pelajar dari Negara-negara komanwel seluruh dunia. Senibinanya cukup mengkagumkan saya kerana ia dilengkapi dengan meja dan kerusi antik, hiasan dinding dan bumbung yang asli yang menyerlahkan gaya senibina British. Di dinding-dinding dewan itu juga tergantung potret-potret lukisan tokoh-tokoh yang pernah belajar di Christ Church.

“Agak-agak kenapa ramai pelancong yang datang ke dewan ni sedangkan ia cuma dewan makan biasa?” saya bertanya kepada Alia dan Zetty, mahasiswa yang membawa kami melawat kawasan University of Oxford.

“Of course la sebab tempat ni Harry Potter pernah berlakon,” jawab mereka.

Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal, kerana saya punya pandangan berbeza daripada mereka. Walaupun saya baru pertama kali menjejak kaki ke dewan ini, apatah lagi universiti ini tetapi saya mempunyai pandangan bahawa tempat ini dikunjungi bukan kerana kisah Harry Potter-nya. Mungkin sesetengah pelancong yang ‘jakun’ hanya akan datang melihat-lihat dewan atau bangunan ini semata-mata kerana ‘Harry Potter pernah belajar dan makan di sini’.

Aspek paling utama yang saya lihat yang ada pada kebanyakan seni bina British pada hari ini ialah seni dan sejarah. Dan dua perkara inilah yang saya rasakan menjadi fokus utama kepada minat orang ramai yang ingin mengkaji dan menilai untuk datang melawat ke tempat sebegini. Timbul persoalan di benak saya, adakah sebelum Harry Potter berlakon disini, Dining Hall ini sunyi sepi tanpa pelancong? Kemungkinan besar dengan sebab kawasan ini menjadi latar tempat lakonan filem Harry Potter, ia menjadi tipping point untuk para pelancong lebih ramai datang melawat kawasan ini.

Nilai yang terdapat dalam kehidupan masyarakat di sana lebih mengutamakan nilai seni dan sejarah apabila kita dapat menyaksikan setiap binaan di sekitar Bandar London mempunyai corak dan rekabentuk tersendiri. Setiap deretan banguan di tepi jalan tidak sama rekabentuknya menunjukkan bahawa keluasan aspirasi seni bina yang ada di sana, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri British style.

Dan menurut pendapat saya, para pelancong yang melawat bangunan-bangunan di Oxford adalah kerana kekaguman kepada nilai sejarah dan seni yang dijaga dengan rapi walaupun bangunan tersebut telah berusia ratusan tahun. Pengekalan dan penghargaan oleh masyarakat setempat kepada seni ini cukup membuatkan saya teruja.

Sudah pasti, nilai seni yang tersemai dalam nadi setiap masyarakatnya dapat dibuktikan sejak awal zaman pembinaannya lagi, iaitu sejak beratus tahun lampau. Saya cuba membandingkan pembinaan tamadun dahulu kala dengan proses pembinaan tamadun pasca era modenisasi termasuk dalam Negara kita sendiri. Aspek seni kurang diterapkan terutama apabila membangunkan sesebuah Bandar baru. Yang menjadi persoalan utama ialah soal penjimatan kos dan perolehan keuntungan maksima yang terserap disana faham kapitalism dalam kehidupan dan sistem nilai masyarakat pada hari ini.


Jika bangunan kelihatan buruk dan ketinggalan zaman, maka ia akan diruntuhkan untuk dibina bangunan yang lebih moden. Sedangkan di sekitar Bandar London dan sepanjang sungai di Kota Paris, kita dapat menyaksikan bangunan-bangunan lama yang mungkin sudah berumur ratusan tahun, masih berdiri gah dengan dihiasi dengan aspek-aspek kesenian tersendiri.

Kami juga berpeluang untuk melawat Ashmolean, iaitu Museum of Art and Archaeology University of Oxford. Muzium yang dibina pada tahun 1683 ini merupakan muzium pertama yang terdapat di Britain. Pengujung boleh melihat sendiri lukisan-lukisan agung pelbagai saiz yang dilekatkan di dinding muzium. Selain itu pengunjung boleh menyaksikan koleksi barangan pra-Dinasti Mesir yang berusia ribuan tahun, koleksi Minoan, koleksi agung Anglo-Saxon dan juga koleksi lukisan China moden di dunia barat. Semua koleksi ini dikumpulkan dalam 39 galeri yang direka oleh arkitek Rick Mather.

Apa yang menjadi tarikan ialah barangan-barangan lama yang terdapat dalam muzium ini, yang kebanyakannya merupakan bahan tinggalan sejarah tamadun barat ratusan dan ribuan tahun lampau juga sangat menekankan aspek seni. Kebanyakan barangan tersebut mempunyai ukiran halus, corak bunga yang sangat terperinci, dan bentuk yang agak complicated. Contohnya hulu pedang dan pakaian besi bagi askar perang mempunyai corak ukiran yang halus di tempat-tempat tertentu. Jika difikirkan secara logik, tentera perang tidak memerlukan semua itu dan ia tidak akan mempengaruhi menang atau kalah sesebuah pasukan.

Saya berlatarbelakangkan karpet besar yang tergantung di dinding muzium. Karpet tersebut disulam dengan corak yang menceritakan kisah suka duka Raja Henry VIII (gambar berkuda di tengah). Aksi berkuda dikelilingi oleh gambaran peristiwa perang yang berlaku sepanjang zaman pemerintahannya.

Tetapi jika dilihat dari aspek penghargaan terhadap seni dan nilai yang diletakkan ke atasnya adalah tinggi, maka ia tidak mustahil untuk menjadi salah satu perkara yang diberi perhatian semasa proses membuat barangan tersebut.

Saya bersama Saudara Izwan sempat melihat lukisan-lukisan yang banyak tergantung di dinding muzium. Semua lukisan tersebut mempunyai cara khas untuk ditafsirkan maksudnya hinggakan dibuat satu buku tentang bagaimana untuk mentafsirkan lukisan-lukisan tersebut. Pegawai muzium akan membuat sesi penerangan kepada kumpulan-kumpulan pelancong tentang apakah maksud di sebalik sesebuah lukisan tersebut.

Saya cukup kehairanan apabila kebanyakan lukisan yang terdapat di situ memaparkan tubuh manusia yang tidak berpakaian hingga memaksa saya untuk bertanya kepada salah seorang pegawai muzium yang bertugas. Jawabnya ialah bentuk tubuh manusia sendiri merupaka suatu seni yang sukar untuk dirungkaikan, dan dengan cara ini mereka dapat memberi apresiasi terhadap seni yang terdapat pada tubuh manusia. Sungguh mengejutkan!

Salah satu galeri yang menempatkan lukisan dan arca. (Kami diarahkan untuk memakai beg di bahagian hadapan untuk mengelakkan terlanggar bahan pameran. Kamera dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam muzium)

Kunjungan ke Institute Musulman, Mosquee De Paris. Masjid ini juga sangat menonjolkan aspek seni dalam sesuatu binaan. Di dinding masjid terdapat pelbagai ukiran baru kapur dan jubin yang menunjukkan hasil seni yang begitu halus. Lampu kandil (chandelier) di ruang solat utama diperbuat daripada ukiran kayu manakala hiasan dalaman kubah juga dihiasi dengan seni ukiran kayu.

Seni yang terdapat pada budaya sesebuah masyarakat biasanya menunjukkan sejauh mana tahap keagungan sesebuah peradaban. Yang pasti, seni melambangkan sebuah kemanan dan kesejahteraan masyarakat, dan ketinggian penghayatan kepada faham keagamaan.

Seni yang menghidupkan jiwa, moga-moga mendekatkan diri kita dengan Pencipta.

penulis:MOHD HAFIZUL HILMI BIN MOHD NOOR. Kini sedang mengikuti pengajian Tahun 4, Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM.

0 comments: